Happy Birthday to me
Friday, October 19th, 2007Alhamdullilah, genap usiaku 26 tahun hari ini. Telah banyak ku lalui, namun ku sedar lebih banyak yang belum ku lakukan.
26 tahun yang lalu, mama dan abah ku menunggukan ketibaan ku dengan penuh debar. Berbelas jam mama ku menahan kesakitan, sabar dan berharap. Akhirnya, saat dinanti tiba jua. Aku disambut dengan meriah dan sangat sihat. Sejak itu, tidak kurang kasih sayang yang dicurahkan pada ku. Walaupun ada kalanya mereka lalai, aku tahu, di lubuk hati mereka, aku adalah segala-galanya.
Semakin ku meningkat usia, kedewasaan ku kadang kala tercabar kerana situasi. Pengalaman banyak mengajar aku dan aku juga sering belajar dari kesilapan sendiri dan kesilapan orang lain. Aku akan bertanya sendiri, adakah aku bersedia menghadapi semua ini? Usia makin bertambah, hari siling berganti namun aku merasakan banyak kekurangan.
Tidaklah keterlaluan jika aku mengatakan aku ini banyak kemahuan dan keinginan. Dapatkah aku capai?
Mama ku, pada usia yang muda, telah bernikah, melahirkan dan bekerja. Idola aku ini sangat cekal, kuat semangat dan tinggi tahap kesabarannya. Mama ku tidak suka meminta, mandiri dan mendahulukan keperluan keluarga dari keperluannya sendiri.
Aku ingin menjadi seperti mama ku…. bukan kaya atau cita-cita yang tinggi melangit. Setakat selesa, sudah cukup.
Insya’allah, jika dipanjangkan jodohku dengan Hairul, kami akan bernikah tahun depan. Kehidupan baru akan bermula, meninggalkan sebahagian kehidupanku dari keluarga asal. Setelah bergelar isteri kelak, semuanya akan berubah. Masih ada tanda tanya ini, adakah aku bersedia?
Aku bersyukur dan hargai apa yang ku miliki sekarang, kerana esok lusa aku tidak pasti akankah dapat ku kecapi….